Skip to content

Kekurangan saintis, jurutera di tahap serius

Source from: Berita Harian, Original Article

 

KUALA LUMPUR: Usaha dan langkah bersepadu antara kerajaan dan sektor swasta harus disegerakan bagi menangani masalah serius kekurangan saintis dan jurutera di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh, berkata Majlis Kebangsaan Bagi Pembangunan Saintifik dan Penyelidikan (MKPSB) menganggarkan negara memerlukan sekitar 500,000 saintis dan jurutera menjelang 2020.

Beliau berkata, buat masa ini hanya terdapat 70,000 jurutera berdaftar di negara ini, iaitu tujuh kali lebih rendah daripada anggaran MKPSB.

“Banyak yang perlu kita lakukan dalam tempoh dua tahun akan datang. Kita perlu memastikan kita menghasilkan graduan yang kompetitif dan forum seperti ini memainkan peranan yang penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelancaran Persidangan Antarabangsa Wanita dalam Sains, Kejuruteraan dan Teknologi (WiSET) di sini, hari ini.

Ia diadakan bersempena ASEAN M&E Show 2018, pameran mekanikal, elektrikal dan kejuruteraan terbesar rantau ini.

ASEAN M&E anjuran UBM Malaysia bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, membabitkan beberapa pemain industri kuasa, tenaga, pemanasan, pengudaraan dan penghawa dingin (HVAC) serta lif.

Acara terbesar ASEAN itu diadakan serentak dengan beberapa acara lain iaitu Pameran Penyejukan, Pengudaraan dan Pengeringan Premier Asia Tenggara (REVAC), Ekspo dan Forum Industri Elektrikal dan Kuasa Premier Asia Tenggara (TENAGA), Ekspo dan Forum Tenaga Hijau Premier (GREEN ENERGY), Ekspo dan Forum Tenaga Solar Premier Asia Tenggara (ASEAN SOLAR) serta Ekspo dan Forum Teknologi Lif dan Eskalator Premier Asia Tenggara (ASEAN LIFT).

Dalam perkembangan berkaitan, Yeoh berkata bagi memperkasakan wanita dalam tenaga kerja, struktur sokongan adalah perlu, oleh kedua-dua sektor awam dan swasta.

error: Content is protected !!